KUALA LUMPUR: Ikatan perkahwinan selama 28 tahun antara penerbit
filem terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman dengan bekas jaguh badminton
negara, Jalani Sidek akhirnya menemui noktah apabila pasangan itu sah
bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini,
semalam.
Jalani atau nama sebenarnya Mohd Jalani Mohd Sidek, 49, melafazkan
talak satu itu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas
mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Raja Azmi petang
kelmarin.
Raja Azmi memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Bagaikan babak sedih dalam filem, pasangan itu bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Jalani melafazkan cerai. Secara kebetulan semalam adalah hari ulang tahun Raja Azmi yang ke-53.
Raja Azmi yang memakai baju bercorak batik dan berselendang hitam
tidak dapat menahan sebak apabila Jalani mengucup pipinya. Shaiful
Azli kemudian mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan
memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan,
mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama daerah Gombak Timur dan
sijil nikah dibatalkan. Pada prosiding itu, Jalani tidak diwakili
peguam manakala Raja Azmi diwakili peguam Roslizam Rahim. Mereka
hadir bersama-sama ditemani anak perempuan kedua, Puteri Suaida dengan
menaiki sebuah kereta pada jam 3 petang sebelum prosiding itu selesai 30
minit kemudian. Terdahulu ketika prosiding bermula, Roslizam
memaklumkan mahkamah pihaknya menyerahkan saman kepada Jalani selaku
plaintif jam 2 petang semalam dan defendan bersetuju dengan tuntutan
plaintif.
Berdasarkan fakta kes, Roslizam berkata pasangan itu sudah
tidak mempunyai persefahaman di dalam perkahwinan dan wujudnya shiqa’
(perbalahan) berpanjangan. “Pelbagai spekulasi melanda pihak-pihak
menyebabkan tiada persefahaman. Wujud shiqa’ antara mereka.
“Pihak-pihak telah berbincang dan mengambil masa yang lama untuk
mencapai persetujuan ini (bercerai). Mereka bermuafakat bahawa mereka
boleh terus berkasih sayang sebagai kawan dan bukan sebagai suami
isteri,” katanya.
Sebelum membenarkan permohonan itu, mahkamah memuji sikap pasangan itu yang akan terus hidup dengan aman walaupun sudah bercerai.
Raja Azmi dan Jalani bernikah di Kamunting, Perak, pada 22 Disember 1984. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak, Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18, serta seorang cucu, Mohd Akid Mohd Shadan, 1.
sumber mymetro.com.my
0 buah fikiran:
Post a Comment
macam tulah baru member, tulisan yang membina memang dipuji