SHAH ALAM: Sebagai tanda ‘hormat’ kepada pemimpin, sekumpulan lelaki
dipercayai anggota kongsi gelap melilitkan kain tertulis angka 08
berserta kalungan bunga di tepi jalan utama Kampung Kebun, di sini
beberapa hari lalu hingga mencetuskan kemarahan penduduk.
Penduduk menyifatkan perbuatan itu sebagai kurang ajar dan meminta
pihak berkuasa bertindak membuang kain rentang dan kalungan bunga itu
kerana boleh mengeliru dan mengguris hati pelbagai pihak.
Penduduk mendakwa, kain dan kalungan bunga itu dililit pada pokok
selepas dua lelaki, dipercayai pemimpin kanan kumpulan terbabit terbunuh
apabila kereta mereka remuk teruk merempuh pokok berkenaan selepas
dikejar kenderaan polis kira-kira jam 2 pagi, minggu lalu.
Bagaimanapun, sehari selepas kejadian itu, puluhan lelaki menaiki
motosikal dan kereta berarak ke tempat kejadian dan memasang kain
rentang tertulis 08 serta meletakkan kalungan bunga.
Tindakan kumpulan berkenaan menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk
mengenai motif mereka meletakkan kalungan bunga dan melilitkan kain yang
tertera angka 08.
Seorang penduduk yang enggan dikenali
mendakwa ketika kain rentang dan kalungan bunga itu dipasang, terdapat
lebih 50 lelaki dipercayai ada kaitan dengan kumpulan berkenaan.
“Kalau ini sebahagian upacara keagamaan, kami tidak kisah, tetapi
cara mereka datang meletakkan kain rentang dan memasang kalungan
mempunyai nombor 08 itu secara logik menggambarkan ia mewakili kumpulan
kongsi gelap. Penduduk kampung di sini bimbang budaya kongsi gelap
sewenang-wenangnya masuk ke dalam kampung mereka dan mempengaruhi
penduduk terutama generasi muda.
“Menyakitkan lagi mata kami
apabila dalam perarakan menaiki kenderaan itu mereka turut mengibarkan
beberapa kain tertulis nombor serupa, seolah-olah megah dengan nama
kumpulan kongsi gelap 08. “Kami cadangkan pihak berkuasa menurunkan
kain yang dililit pada pokok berkenaan dan menasihatkan semua pihak
supaya menjaga hati penduduk di sini,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati, kain yang tertera nombor 08 yang
ditulis menggunakan dakwat merah dan sementara kalungan bunga digantung
pada pokok yang sama.
Penduduk turut mendakwa, dalam
kejadian mengejar di antara polis dan kereta dinaiki suspek minggu
lalu, paip utama berdekatan turut pecah menyebabkan penduduk berdekatan
mengalami masalah gangguan air.
Sementara itu Ketua Polis
Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, ketika dihubungi
berkata, beliau akan mengarahkan pegawai dan anggotanya ke tempat
kejadian bagi menurunkan kain yang mempunyai angka 08 itu.
Beliau memberi jaminan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan
mana-mana perbuatan yang boleh mencetuskan keresahan masyarakat dan
tindakan menurunkan kain yang dililit pada pokok itu akan dilakukan
serta-merta demi kebaikan semua pihak.
“Saya akan hantar
pegawai dan anggota ke tempat kejadian bagi menurunkan poster tertulis
nama kumpulan kongsi gelap itu,” katanya kepada Sentral semalam.
sumber mymetro.com.my
0 buah fikiran:
Post a Comment
macam tulah baru member, tulisan yang membina memang dipuji