KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak, 28, menetapkan syarat
kepada mana-mana pihak produksi untuk tidak bekerja lebih dari pukul 12
tengah malam kerana faktor kesihatan.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata,
sekiranya pihak penerbit tidak boleh menerima syarat-syarat itu, dia
sanggup menolak tawaran yang diberikan walaupun bayaran yang ditawarkan
lumayan.
"Sejak dimasukkan ke hospital akibat keradangan otot pada 29 April lalu, saya menyedari penjagaan kesihatan amat penting.
"Alhamdulillah, sejak keluar daripada hospital, doktor menasihatkan
supaya mengehadkan waktu bekerja dan kini, setiap kali menerima tawaran
berlakon, saya menetapkan syarat untuk bekerja sehingga pukul 12 tengah
malam sahaja.
"Mujurlah setakat ini, tiada produksi yang merungut dan mereka sangat memahami dengan keadaan saya ini," katanya.
Beritahu Zizan, kesibukannya bermula sejak menerima anugerah
Pengacara Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH
2011) pada April lalu.
Atas dasar ingin membalas budi, dia sanggup bekerja keras agar peminat-peminatnya bangga terhadap pencapaian tersebut.
"Anugerah itu sebagai bukti peminat adalah tulang belakang utama
dalam setiap kejayaan saya, mereka sanggup berhabis wang untuk mengundi.
"Sebab itu saya bekerja tanpa mengira waktu, selagi ada kudrat,
selagi itulah saya bekerja. Tapi lain pula jadinya apabila saya pula
yang ‘tumbang’," selorohnya.
Sementara itu, filem lakonan Zizan iaitu Mael Lambong telah pun ditayangkan sejak 21 Jun lalu.
Menurut Zizan, dia tidak sangka jenama 'Mael Lambong' yang direka
sendiri ketika menyertai Maharaja Lawak bersama Johan mendapat perhatian
daripada pengarahnya, Ahmad Idham.
"Jujur saya katakan, 'Mael Lambong' adalah satu watak rekaan yang sangat saya sayangi, tak sangka pula ia difilemkan terus.
"Bagus juga, kerana saya juga mahu Mael Lambong dijadikan sebuah drama berepisod," tuturnya.
Filem itu mengisahkan tentang Mael Lambong (Zizan), seorang penarik
kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan
Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja.
Antara pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.
sumber mStar
0 buah fikiran:
Post a Comment
macam tulah baru member, tulisan yang membina memang dipuji